OUM
TOPIK 6 ESTETIKA DAN KANAK-KANAK
PENGENALAN
Menurut Koster (2001) kefahaman mengenai karya seni merupakan sebahagian daripada
pengajaran pendidikan seni visual. Beliau menjelaskan lagi bahawa kefahaman ini penting
kerana kanak-kanak dikelilingi oleh persekitaran yang banyak menggunakan visual
sebagai medium komunikasi. Justeru kemahiran menghayati nilai kecantikan dan estetika
perlu di dedahkan kepada mereka supaya mereka dapat membezakan kepelbagaian
cabang dan aliran seni. Selain itu pengetahuan nilai estetika seni membantu mereka
menjadi peka terhadap hasil karya seni dan bagaimana mereka bertindak terhadap
sesuatu karya seni. Topik ini akan membincangkan persoalan estika dalam pendidikan
seni dan bagaimana guru pendidikan seni visual boleh membangunkan kemahiran estetik
kanak-kanak.
OBJEKTIF
Di akhir topik ini anda seharusnya dapat:
1. memahami definisi estetik di dalam pendidikan seni visual;
2. mengetahui makna dan huraian estetik; dan
3. memahami aplikasi penerapan estetik ke atas kanak-kanak.
6.1 DEFINISI
Apakah tafsiran anda tentang nilai estetik atau estetika? Nyatakan nama-
nama objek di persekitaran anda yang mempunyai nilai estetik yang tinggi.
Istilah estetik atau estetika mula digunakan buat pertama kalinya oleh ahli falsafah
Jerman, Alexander Baumgarten sekitar tahun 1744 (Abdul Shukor Hashim, 1991).
Perkataan estetik diambil daripada perkataan Greek iaitu aisthetikos yang merujuk
kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan persepsi deria. Secara ringkasnya estetik
melibatkan penggunaan semua deria. Ilmu estetik merupakan sebahagian daripada ilmu
cabang falsafah yang mengutarakan isu-isu berkaitan dengan sifat seni dan nilai yang
terdapat pada hasil seni. Sebagai contoh, kecantikan merupakan salah satu daripada
kualiti dan nilai yang terdapat pada hasil seni. Bagi Bates (2000), beliau menterjemahkan
estetik sebagai satu kajian falsafah yang berkaitan dengan kecantikan. Gazalba (1978)
mentakrifkan estetik itu sebagai satu cabang ilmu normatif yang membawa nilai-nilai
kecantikan dan kebaikan. Manakala Lankford (1992) menghuraikan estetik sebagai satu
konsep dan kaedah di dalam falsafah seni termasuk persoalan yang bermatlamat untuk
menerangkan dan memahami pengalaman estetik yang berkaitan dengan perkembangan
artistik dan penghasilan produk.
Ragans (2000) pula menjelaskan bahawa menilai hasil karya bukan sahaja dilihat pada
kecantikan karya tersebut malahan ia juga perlu dilihat dari sudut kejayaan sesuatu karya,
iaitu dari segi penyampaian dan gaya penghasilan. Sesuatu karya mungkin tidak nampak
cantik namun ianya dikira berjaya daripada aspek penyusunan dan reka letak imej dan
objek karya tersebut yang menjadikan ianya berjaya dan unik. Sebagai contoh, terdapat
karya yang mengganggu emosi apabila dilihat dan karya ini masih dikategorikan sebagai
karya yang baik dan berjaya.
Apabila seseorang menghayati karya, individu terbabit akan bertindak balas dengan karya
tersebut dan proses ini dikenali sebagai Tindak balas Estetik (Aesthetic Response).
Tindak balas estetik merujuk kepada reaksi semula jadi manusia yang tercetus apabila
seseorang melihat karya seni. Sebagai contoh, kekaguman seseorang apabila melihat
hasil karya yang cantik dan mempesonakan.
Di dalam pengajaran pendidikan seni visual, istilah pendidikan estetik digunakan
merangkumi pelbagai bidang penghasilan hasil karya seni seperti arca, lukisan, catan dan
sebagainya. Pendidikan estetik juga menjelaskan persoalan estetik yang merujuk kepada
perbincangan berkaitan dengan penghuraian makna dan simbolik penghasilan karya seni.
Kaitan pendidikan dan estetik dijelaskan oleh Abdul Shukor Hashim (1991) yang melihat
setiap pengalaman pembelajaran sebagai pengalaman estetik.
Dengan mempelajari nilai estetika dalam pendidikan, guru pendidikan seni visual boleh
menggunakan kemahiran ini untuk membantu pelajar memahami hasil karya yang
dihasilkan selain menghurai persoalan mengapa karya seni dihasilkan dan kepentingan
menghargainya.
6.2 PERKEMBANGAN ESTETIK DAN TEORI KECANTIKAN
Adakah penting bagi seseorang guru pendidikan seni visual untuk menilai
sesuatu karya seni dari aspek kecantikan?
Suatu masa dahulu, seni sering dikaitkan dengan kecantikan. Namun ahli estetik tidak
lagi bersetuju dengan pendapat ini. Apabila ilmu estetik dijadikan satu entiti kajian yang
berlainan pada pertengahan kurun ke-18, ahli-ahli falsafah mula membuat pencarian
tentang makna dan konsep kecantikan dalam seni. Tetapi makna kecantikan itu
sebenarnya sukar untuk dihuraikan kerana sifatnya yang abstrak, subjektif dan orientasi
mengenai kecantikan itu berbeza mengikut budaya. Sebagai contoh, di zaman Greek
purba, tujuan utama seni adalah memaparkan idea dan konsep kesempurnaan dari segi
kecantikan fizikal. Justeru tidak hairanlah banyak arca patung dibina sebagi manifestasi
makna kecantikan Pada zaman Byzantin pula, konsep kecantikan diterjemahkan dengan kepercayaan kuat
terhadap pegangan agama lalu dipamerkan melalui imejan berunsurkan keagamaan. Di
barat pula walaupun ramai artis bergantung kepada konsep kecantikan sebagai luahan
ekspresi, ianya hanyalah sebagai salah satu pendekatan sahaja. Terdapat ramai artis lain
yang menggunakan konsep yang bertentangan dengan kecantikan dalam penghasilan
karya. Sebagai contoh, ada artis yang mendapat ilham dan idea daripada kesan
kekejaman peperangan, kemiskinan dan pembunuhan sebagai tema utama karya dan isu
kecantikan dalam karya ini tidak lagi tidak lagi berkisar kepada keadaan yang
mempesonakan.
Walaupun begitu, isu kecantikan masih lagi menjadi titik perbincangan mengenai estetik
sehingga ke hari ini oleh ahli falsafah. Secara ringkasnya, terdapat dua cara konvensional
untuk melihat sifat kecantikan iaitu konsep relativist dan konsep objektivist.
6.2.1 Konsep Relativist
Konsep ini percaya bahawa terdapat banyak faktor yang mempengaruhi perbezaan
pendapat mengenai kecantikan. Faktor utama adalah persekitaran individu, nilai, budaya
serta cara hidup seseorang individu pada satu-satu masa. Ini dapat menjelaskan mengapa
pengkritik seni, walau berpengetahuan tinggi, masih lagi gagal menghargai bentuk seni
kerana dibelenggu oleh faktor sezaman pada ketika itu.
Pandangan golongan relativist atau individu terhadap kecantikan adalah subjektif dan
abstrak. Golongan ini percaya bahawa kepelbagaian budaya dan perubahan cita rasa
mempengaruhi persepsi seseorang terhadap kecantikan. Dalam erti kata lain,
penghuraian dan makna kecantikan tidak terletak pada objek tetapi pada persepsi
seseorang.
6.2.2 Konsep Objektivist
Konsep objektivist sangat bertentangan dengan konsep relativist. Konsep objektivist
percaya bahawa kecantikan sememangnya telah sedia ada bersama karya seni dan
bukan terletak pada persepsi seseorang. Teori yang berakar umbi dari zaman Greek
klasik ini menjelaskan bahawa kecantikan dapat dibahagikan kepada kriteria tertentu
seperti yang terdapat di dalam elemen dan prinsip-prinsip dalam seni seperti harmoni,
rentak, warna, keseimbangan dan sebagainya.
6.3 ESTETIK DAN KANAK-KANAK
Banyak kajian yang telah dijalankan mengkaji bagaimana manusia terutamanya kanak-
kanak melihat dan mentafsir kecantikan. Tidak kurang juga kajian yang mengkaji
perkembangan dan tindak balas estetik di kalangan kanak-kanak. Terdapat hipotesis yang
mengatakan bahawa manusia secara semula jadi sememangnya mudah tertarik dengan
objek dan perkara atau sesuatu yang luar biasa dan pelik.
Bagi kanak-kanak, perasaan mudah tertarik dengan perkara baru menjadikan mereka
sebagai golongan yang unik dan luar biasa kerana perkara-perkara luar biasa dan pelik ini
merupakan perkara baru bagi mereka. Pengalaman estetik kanak-kanak diperolehi melalui
penglihatan, pengalaman dan eksplorasi.
Lowenfeld (1975) percaya bahawa perkembangan estetik kanak-kanak tidak boleh
dipisahkan dengan perkembangan kreativiti. Ini menurut beliau, adalah kerana kedua-
duanya dipengaruhi oleh faktor tumbesaran dan persekitaran yang membentuk ciri-ciri dan
corak pemikiran mereka. Lowenfeld juga turut menambah bahawa pendidikan yang
melibatkan tindak balas estetik turut melibatkan spektrum yang lebih luas iaitu
pengalaman menghasilkan karya seni dan bentuk karya yang dihasilkan. Ini bermakna,
dua elemen iaitu penghasilan karya dan bentuk karya turut penting di dalam pendidikan
estetika kerana ia merupakan asas kepada huraian dan tindak balas terhadap karya.
Tindak balas estetik bagi kanak-kanak dipengaruhi oleh faktor umur, pengalaman serta
latar belakang dan budaya. Faktor umur mempengaruhi kanak-kanak dari segi
kematangan dan kebolehan untuk mengolah gambar dan objek. Sebagai contoh, kanak-
kanak lebih berminat untuk memilih warna-warna yang lebih cerah, terang dan berwarna-
warni dan karya yang dihasilkan kebanyakan berbentuk abstrak, sukar difahami selain
cara kanak-kanak menghasilkan karya mengikut perkembangan artistik mereka.
Faktor pengalaman pula merujuk kepada pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki oleh
kanak-kanak untuk membezakan sesuatu karya. Sebagai contoh, kajian yang dijalankan
oleh Howard Gardner dan Ellen Winner (1976). Dapatan yang diperolehi oleh Gardner dan
Winner mendapati bahawa kanak-kanak berumur dari empat hingga tujuh tahun
beranggapan bahawa hasil karya yang di tunjukkan kepada mereka adalah menarik dan
mudah untuk dihasilkan. Mereka juga beranggapan bahawa semua orang mampu
menghasilkan karya dan karya tersebut dianggap siap apabila ianya memenuhi ruang
kertas lukisan tersebut. Ini menunjukkan bahawa pengalaman dan pengetahuan kanak-
kanak juga mempengaruhi tindak balas estetik kanak-kanak terhadap karya.
6.4 TINDAKBALAS ESTETIK (AESTHETIC RESPONSE)
Pernahkah anda sendiri mengalami tindak balas estetik? Sekiranya ya,
apakah kesan tindak balas estetik terhadap diri anda?
Tindak balas estetik adalah tindak balas spontan terhadap karya. Ianya berlaku melalui
hasil karya dan juga melalui pengamatan terhadap alam. Selalunya, tindak balas estetik
berlaku apabila terdapat dua elemen yang tercetus semasa seseorang itu mengamati
karya. Elemen pertama adalah aspek kualiti yang terdapat pada karya dan yang kedua
adalah aspek makna pada karya. Aspek kualiti pada karya merujuk kepada perkara-
perkara dan elemen yang berkaitan dengan kualiti lliteral, kualiti rekaan dan kualiti
ekspresif.
(a) Kualiti Literal atau Imitanionalism
Kualiti literal atau imitasi merujuk kepada keupayaan pengkarya untuk menghasilkan
karya secara realistik melalui peniruan alam sekeliling selain daripada kualiti realistik
yang dipamerkan. Bagi sesetengah pengkritik, karya yang dikategorikan berjaya
mempamerkan kebolehan peniruan objek atau imej. Aspek ini menitikberatkan
tentang imej yang dilukis secara realistik melalui proses peniruan alam sekeliling.
Sebagai contoh, pengkarya yang melukis imej realistik penunggang kuda, kualiti
literal pada lukisan ini adalah imej lelaki yang menunggang kuda tersebut yang
ditonjolkan secara realistik.
(b) Kualiti Rekaan atau Formalism
Kualiti rekaan merujuk kepada komposisi iaitu kaedah menyusun elemen dan prinsip
seni di dalam sesuatu karya. Sebagai contoh, bagaimanakah artis atau pengkarya
mengutamakan elemen imbangan, garisan, ritma dan sebagainya.
(c) Kualiti Ekspresif atau Kualiti Emosi
Aspek ini menghuraikan makna karya dari aspek meningkatkan dan melihat tindak
balas emosi, mood dan idea penonton yang mengamati karya. Sesetengah
pengkritik menjelaskan bahawa karya yang diklasifikasikan sebagai berjaya adalah
karya yang berjaya membangkitkan emosi dan perasaan penonton.
6.5 MERANSANG PERKEMBANGAN DAN TINDAKBALAS
ESTETIK KANAK-KANAK
Koster (2001) menyarankan bahawa perkembangan estetik kanak-kanak perlu dirangsang
dengan aktiviti yang dirancang rapi dan tersusun supaya tindak balas semula jadi estetik
yang dimiliki oleh kanak-kanak selari dengan peningkatan umur mereka. Peranan guru
pendidikan seni visual amat penting bagi memastikan program pengajaran yang dirancang
meningkatkan dan memperkayakan tindak balas estetik kanak-kanak apabila melihat dan
mengamati karya seni. Bagi merangsang perkembangan kreativiti pemilihan karya bagi
pelajar untuk memberikan respon perlu dipilih berdasarkan kriteria berikut.
(a) Memilih Karya Berkualiti
Karya seni perlu mempunyai standard dan kualiti yang tertentu dalam jenisnya.
Mempunyai keaslian dan dihasilkan melalui kerja tangan teliti dan terbaik serta
dikenali. Karya sebegini mudah didapati di galeri seni dan biasanya karya-karya ini
disusuli dengan komentar dan penulisan.
(b) Mempunyai Kepelbagaian Media dan Teknik
Karya yang dipilih perlu mempunyai kepelbagai teknik dan media penghasilannya. Ini
bagi memastikan pelajar mempunyai perspektif pelbagai mengenai hasil karya. Guru
seni boleh meluaskan pemilihan karya dengan memilih karya arca, kolaj, lukisan dan
tidak tertumpu hanya kepada catan sahaja.
(c) Kepelbagaian Gaya, Budaya dan Artis
Pemilihan karya perlu melihat faktor yang boleh memperkayakan persepsi pelajar
terhadap alam sekelilingnya. Faktor seperti latar belakang dan budaya artis atau
pengkarya yang menghasilkan karya perlu diberikan perhatian. Disarankan guru
memilih karya kontemporari dan moden yang dihasilkan oleh artis daripada pelbagai
etnik dan latar belakang termasuk pengkarya muda dan artis wanita.
(d) Mempamerkan Budaya
Karya yang dipilih perlu mengambil kira mengenai kemampuan sesuatu karya
mempamerkan identiti dan budaya murid. Karya seni yang dipilih juga mesti
mencerminkan warisan dan kesenian supaya murid mempunyai perspektif yang luas
mengenai budaya dan kepelbagaiannya.
Latihan 6.2
1. Di dalam merangsang perkembangan dan tindak balas estetika kanak-
kanak, pemilihan karya-karya yang dihasilkan oleh pelbagai etnik dan
latar belakang dapat menajamkan persepsi dan perspektif kanak-
kanak terhadap alam sekelilingnya. Bagaimanakah ini boleh berlaku?
6.6 KEPENTINGAN MEMPELAJARI ESTETIK
Kepentingan kanak-kanak mengetahui dan mempelajari mengenai estetik bukan sahaja
dilihat daripada sudut membina perkembangan artistik sahaja, ia turut membantu
perkembangan emosi dan kognitif murid. Mempelajari estetik dapat membantu murid
dalam pelbagai aspek.
(a) Menghidupkan Suasana Aktif Pembelajaran
Pembelajaran pendidikan seni akan lebih aktif kerana pengalaman estetik diterapkan
di dalam aktiviti penghasilan karya di dalam kelas. Proses pembelajaran estetik juga
menggalakkan interaksi di antara murid dan guru, menjadikan proses pembelajaran
lebih menyeronokkan.
(b) Meningkatkan Kefahaman terhadap Imej dan Bahasa Visual
Proses estetik memerlukan satu kefahaman mengenai laras bahasa tampak.
Mempelajari estetik akan membantu murid mempelajari gaya bahasa tampak dan
memperkayakan mereka dengan istilah-istilah baru.
(c) Menyemai Kefahaman terhadap di antara Satu Sama Lain
Mempelajari estetik dapat membantu murid memahami bahawa karya yang
dihasilkan mempunyai makna berbeza. Selain itu, ia juga memberikan kesedaran
bahawa tidak semua orang melihat dan memahami sesuatu perkara itu dengan cara
yang sama dengan orang lain.
(d) Meningkatkan Keupayaan Pemikiran
Proses interpretasi karya melibatkan penggunaan deria dan proses kognitif. Justeru
melalui proses penghayatan karya, pelajar perlu membuat perbandingan, perbezaan
menganalisa dan menilai karya. Kesemua ini membantu murid mengerakkan daya
pemikiran mereka.
Latihan 6.3
1. Setelah mempelajari bab ini, adakah estetik dan kecantikan merupakan
konsep yang sama?
2. Bagaimanakah estetik berbeza dengan kreativiti?
RUMUSAN
Peranan guru di dalam proses mengembangkan pengalaman estetik adalah penting. Ini
adalah kerana proses perbincangan mengenai karya bagi mendapatkan maklumat perlu
dibantu agar murid benar-benar dapat mengamati dan berjaya membuat perbandingan,
menganalisa kepelbagaian jenis karya . anda telah didedahkan juga dengan pengertian
estetik dan kaedah merangsang estetik kepada murid seperti pemilihan karya,
perkembangannya dan kepentingan mempelajarinya.
77
OUM
TOPIK 7 APRESIASI SENI
PENGENALAN
Apresiasi seni merupakan aspek penting di dalam pengajaran pendidikan seni visual.
Apresiasi seni ini adalah proses penghayatan seni yang merangkumi aspek-aspek
pengetahuan, membuat pertimbangan, penyataan diskriminasi dan penghargaan terhadap
karya seni. Apresiasi seni juga menitikberatkan aspek kritikal serta aspek emosional
terhadap karya seni. Menjalankan proses apresiasi seni sebenar tidak sukar kerana
proses ini boleh diumpamakan sebagai memberi penghargaan terhadap karya seni.
Menurut Ecker (1966), pendekatan apresiasi seni dapat memberikan penghargaan yang
menyeronokkan terhadap karya seni, dilakukan dengan cara naratif dan tersusun untuk
memahami sesuatu karya seni. Ia mencakupi aspek pengetahuan, penilaian, diskriminasi,
dan juga kesedaran emosi terhadap karya seni. Pendekatan ini juga diperlukan untuk
memberikan penilaian estetika dan artistik untuk setiap karya seni yang dihasilkan.
OBJEKTIF
Di akhir topik ini anda seharusnya dapat:
1. memahami proses di dalam apresiasi seni kanak-kanak;
2. mengenal pasti kategori-kategori penting di dalam membuat apresiasi seni; dan
3. mampu melakukan apresiasi seni apabila berhadapan dengan karya seni.
7.1 DEFINISI DAN KONSEP
Apakah yang dapat anda fahami dengan istilah ‘apresiasi seni’?
Bagi Hurwitz dan Day (2001), apresiasi bermaksud ‘menghargai’ dan pemahaman
mengenai konsep apresiasi seni adalah melalui pencarian dan penyaluran maklumat
yang terdapat pada karya seperti maklumat mengenai artis atau pengkarya, maklumat
mengenai bahan yang digunakan untuk menghasilkan karya, gaya dan aliran seni karya
serta aspek sejarah karya tersebut.
Konsep apresiasi seni sebenarnya antara lain bertujuan untuk membina keyakinan
seseorang untuk berbincang dan menghurai serta membuat diskriminasi terhadap karya
seni. Apabila seseorang itu menjalankan proses apresiasi seni, proses ini tidak akan
menyentuh soal-soal berkaitan betul atau salah interpretasi individu tersebut mengenai
karya, kerana tujuan apresiasi seni adalah untuk memahami karya melalui apa yang dilihat
secara langsung. Seabolt (2001) menjelaskan bahawa aktiviti kritikan seni melibatkan
perbincangan dan diskusi mengenai sesuatu karya seni manakala apresiasi seni pula
merujuk kepada aktiviti menghayati seni dengan melibatkan pengetahuan berkaitan
dengan sejarah seni dan perbincangan serta diskusi mengenai seni.
Di samping itu, konsep dan pelaksanaan apresiasi seni juga bertujuan untuk membina
tatabahasa visual dan meningkatkan daya estetik seseorang. Pengalaman estetik akan
meningkat kerana proses ini juga mendedahkan seseorang itu dengan bahasa tampak
yang membantu menyelami perasaan penghasil karya. Apresiasi seni mengajar pengkritik
dan pemerhati seni menghargai rasa dan perasaan seniman (Johari Abdul Hamid, 2004).
7.2 KATEGORI APRESIASI SENI
Terdapat dua pandangan berbeza mengenai apresiasi. Pandangan pertama merupakan
pendapat Walter dan Clive Bell yang menyatakan bahawa penghayatan dan apresiasi seni
tidak memerlukan pengetahuan mengenai idea, kerana kehidupan normal bagi seseorang
adalah berbeza-beza. Mereka juga berpendapat bahawa membuat apresiasi itu adalah
sesuatu yang berbeza daripada pengalaman biasa.
Pandangan kedua berasal daripada psikologi eksperimental yang diutarakan oleh John
Dewey dan Otto Krash. Kedua-keduanya bersetuju bahawa apa saja maklumat yang
berkaitan dengan seni termasuk pengetahuan asas seni boleh membawa kepada
kefahaman terhadap karya seni, seterusnya memudahkan proses ke arah apresiasi seni.
Walau bagaimanapun, terdapat banyak persoalan mengapa seseorang perlu melakukan
apresiasi terhadap karya seni. Persoalan-persoalan seperti apa yang anda lihat? Apakah
pengalaman dan memori yang lalu tentang karya yang dilihat? Sejauh manakah karya
tersebut berkesan dari segi penghasilan karya oleh pengkaryanya? Apakah maksud karya
tersebut? Bagaimana elemen dan prinsip seni di gunakan?
Walau bagaimanapun, menurut Ecker (1966) kategori utama dalam apresiasi seni ialah
apresiasi bercorak analitikal. Apresiasi analitikal adalah satu kaedah bagi melihat aspek
penghasilan karya seni visual. Kategori apresiasi bercorak analitikal ini disusun dari
konsep mudah kepada yang lebih kompleks.
7.2.1 Peringkat Analitikal
(a) Kenal Pasti (Identification)
Aspek kenal pasti yang paling mudah ialah menyatakan aspek-aspek seperti tajuk
karya, jenis karya, pereka atau seniman karya, tarikh dihasilkan, asal-usul karya,
gaya, medium yang digunakan, teknik dan fungsi karya.
7.2.2 Peringkat Penerangan
Peringkat penerangan boleh diklasifikasikan kepada tiga peringkat yang utama iaitu
peringkat penerangan literari, penerangan teknikal dan penerangan formal.
(a) Penerangan Literary (Literary Description)
Penerangan literari digunakan ke atas karya seperti potret, landskap, lukisan objek
dan lain-lain. Contohnya, karya Monalisa menggambarkan seorang wanita yang
sedang terukir senyum di bibirnya. Penerangan literari ini terbahagi pula kepada dua
bahagian iaitu penerangan teknikal dan penerangan formal.
(b) Penerangan Teknikal (Technical Description)
Penerangan teknikal merujuk kepada aspek teknikal dalam penghasilan karya seni.
Proses ini termasuk perkara-perkara seperti penggunaan teknikal dan bahan-bahan
oleh pengkarya.
(c) Penerangan Formal (Formal Description)
Penerangan formal merujuk kepada struktur fizikal karya seni iaitu perkara-perkara
yang berkaitan dengan apa yang dilihat. Ini termasuklah aspek warna, garisan,
jalinan, bentuk, rupa dan lain-lain. Organisasi rekaan seperti imbangan, susunan,
ritma, dan prinsip-prinsip serta elemen seni yang lain.
7.2.3 Konteks dan Skop
Seterusnya ialah aspek konteks dan skop sesuatu karya itu dihasilkan sama ada
mempunyai kaitan dengan budaya, sumbangan karya di dalam masyarakat, peranan
pengkarya dan lain-lain.
7.2.4 Aspek Assosiasi
Aspek ini bergantung kepada assosiasi seseorang apabila menikmati sesuatu karya.
Adakah karya itu mengingatkan sesuatu kepada apa yang dilihatnya? Misalnya, potret
Monalisa mengingatkan kepada kekasihnya atau lukisan peperangan membayangkan
kekejaman sesuatu bangsa yang sombong dan angkuh. Ringkasnya, perkaitan ini juga
merupakan persoalan yang menyentuh peribadi seseorang.
7.2.5 Aspek Kritikal
Aspek kritikal merupakan persoalan penilaian atau pertimbangan peribadi termasuklah
kritikan yang membolehkan seseorang membuat apresiasi kepada sesuatu karya itu
dengan lebih menyeronokkan.
7.2.6 Aspek Hubungan Baik
Aspek hubungan baik ini amat kuat dalam membuat apresiasi kepada seni bina. Aspek
fizikal, spiritual dan lebih daripada itu aspek kemanusiaan adalah menjadi keutamaan.
Tetapi aspek ini boleh juga diaplikasikan kepada kesemua jenis seni rupa atau seni
visual. Tambahan pula, pengalaman lampau seperti yang menyentuh persepsi diserapkan
dalam membuat apresiasi kepada objek yang dilihat.
8.0
OUM
RUMUSAN
Di dalam topik ini, anda telah mempelajari peranan apresiasi seni di dalam mata pelajaran
seni visual di sekolah. Tanpa apresiasi seni, murid tidak dapat membuat pertimbangan
yang penting apabila melihat sesuatu karya seni sama ada seni lukis, seni reka atau
bidang seni visual yang lain. Apresiasi seni juga dapat membantu seseorang daripada
membuat penilaian yang singkat atau yang pendek sebelum membuat penilaian atau
kritikan yang munasabah.
TOPIK 9 PENGURUSAN STUDIO DAN BILIK SENI
DI SEKOLAH
PENGENALAN
Persekitaran memainkan peranan yang signifikan di dalam perkembangan pembelajaran
kanak-kanak. Persekitaran yang sihat dan kondusif membantu murid untuk berkembang
dan menjadi lebih aktif. Di dalam pendidikan seni visual, lokasi yang selalu digunakan bagi
tujuan pengajaran adalah studio seni. Kebiasaannya kemudahan bilik seni atau studio seni
memang disediakan oleh kerajaan untuk kemudahan guru.
Bab ini akan memperjelaskan dan menghuraikan maklumat berkaitan dengan pengurusan
kelas dan studio bagi mata pelajaran seni visual. Maklumat mengenai kaedah pemilihan
karya sehinggalah kepada pengurusan berkaitan penyimpanan barangan dan alatan turut
dibincangkan dengan komprehensif.
OBJEKTIF
Di akhir topik ini anda seharusnya dapat:
1. memahami pengurusan bilik seni yang baik;
2. mengetahui proses pemilihan karya untuk dipamerkan; dan
3. memahami aspek penjagaan dan keselamatan semasa aktiviti seni dijalankan.
9.1 PENDAHULUAN
Adakah susun atur kelas, bilik seni atau studio mempunyai pengaruh ke
atas motivasi pelajar untuk belajar?
Bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran pendidikan seni visual berjalan
lancar, persekitaran merupakan perkara penting. Bilik-bilik darjah yang disediakan perlu
sentiasa diperkemas dan diperbaharui supaya suasana sentiasa ceria dan mampu
menarik minat murid.
Pengetahuan asas bagaimana untuk menyusun dan merekaletak alatan dan bahan
pameran perlu dimiliki oleh guru seni visual kerana selain daripada tanggungjawab
mengajar, biasanya guru pendidikan seni juga dipertanggungjawabkan untuk menjaga bilik
dan studio seni. Marjorie Schiller (1995) menerangkan bahawa bilik dan studio seni
melambangkan cara kita menilai seni dan bagaimana seni memberikan makna kepada
kehidupan kita. Justeru, kaedah penyusunan dan kebersihan bilik darjah dan studio perlu
menitikberatkan unsur estetika untuk memberi pengalaman estetik yang bermakna.
Persekitaran yang merangsang deria memberikan tenaga kepada minda untuk belajar
(Koster, 2001).
9.2 KEPERLUAN ASAS BILIK SENI
Kebanyakan sekolah telah disediakan bilik khas yang diperuntukkan sebagai bilik seni
atau studio seni. Kemudahan ini disediakan oleh pihak berwajib bagi memastikan
keselesaan murid dan guru dalam menjalankan proses pengajaran. Mengurus dan
menjaga studio seni bukan tugas mudah. Oleh itu, guru perlu bijak menyusun barangan
yang terdapat di dalam bilik supaya kelihatan ceria dan menarik.
Berikut merupakan perkara-perkara yang boleh dijadikan panduan bagi guru dalam
mengurus bilik seni dan studio seni di sekolah.
(a) Warna Dinding
Antara kaedah pertama yang perlu dititikberatkan bagi menghiasi bilik seni adalah
warna. Warna dinding yang terdapat di bilik seni perlu menarik. Pilihlah warna-warna
yang sesuai untuk dijadikan latar kepada buletin dan papan notis yang terdapat di
dalam bilik darjah. Karen Haigh (1997) menyarankan agar pemilihan warna bagi bilik
seni hendaklah sehingga tidak menafikan dan menenggelamkan hasil karya pelajar
yang akan dipamerkan. Dalam konteks ini, pemilihan warna bagi menghiasi dinding
perlu mengambil kira kesesuaian dengan karya pelajar yang akan digantung dan
dipamerkan nanti.
Warna-warna yang disarankan adalah warna-warna terang seperti warna putih,
kelabu pucat, kuning dan biru. Warna-warna terang ini akan membuatkan bilik seni
yang gelap nampak besar selain daripada sesuai untuk dijadikan latar bagi karya
pelajar dan objek-objek semula jadi.
(b) Papan Buletin
Buletin sangat diperlukan untuk mempamerkan hasil karya pelajar selain sebagai
tempat untuk menyampaikan maklumat. Papan notis hendaklah diwarnakan sama
dengan warna dinding agar terdapat kesatuan dengan bilik selain mampu menarik
minat terhadap apa yang pamerkan.
Selain daripada itu, guru-guru pendidikan seni visual juga boleh menggunakan
warna-warna seperti warna kuning terang, merah dan oren untuk mengecat papan
buletin bagi tujuan pameran selain menampakkan sedikit kelainan daripada warna
terdahulu.
(c) Pencahayaan
Pencahayaan juga memainkan peranan penting kerana pemilihan warna juga
dipercayai turut mempengaruhi murid menyiapkan dan menghasilkan karya.
Kebanyakan kelas dan studio seni telah disediakan dengan lampu fluoresant atau
lampu kalimantang. Oleh itu, guru seni digalakkan untuk memastikan murid
menggunakan sinaran pencahayaan semula jadi dari luar. Guru perlu buka tingkap
dan pastikan seberapa banyak cahaya dari luar masuk ke dalam bilik seni. Guru juga
boleh mengadakan eksperimen bersama pelajar bagi mendapatkan perbezaan
warna menggunakan lampu fluoresent dan cahaya semula jadi.
(d) Bahan Pameran Khas
Selain mempamerkan hasil karya pelajar, guru-guru seni visual boleh
memperuntukkan satu ruang pameran yang mempamerkan objek semula jadi yang
boleh membangkitkan rasa ingin tahu. Objek-objek hendaklah dipamerkan di lokasi
yang mudah untuk dikunjungi oleh murid. Ruang yang mempamerkan objek ini akan
merangsang deria murid di samping memberikan peluang kepada mereka untuk
melihat dan menyentuh objek tersebut.
(e) Zon Kerja
Zon kerja merupakan lokasi murid menghasilkan karya dan menyiapkan kerja
mereka. Meja kerja perlu disediakan dan daripada jenis yang boleh dicantum
sekiranya perlu bagi mendapatkan ruang yang lebih luas. Di samping itu, keperluan
bahan seni seperti berus dan warna diletakkan berdekatan di antara satu sama lain
selain singki yang digunakan bagi membersihkan alatan setelah selesai kelas. Guru
juga perlu memastikan jarak di antara pelajar adalah sesuai bagi mengelakkan
kesesakan semasa membuat kerja.
(f) Stor Penyimpanan
Stor simpanan alatan perlu diwujudkan. Rak simpanan boleh digunakan untuk
menyimpan bahan dan hasil karya pelajar seperti folio dan buku latihan. Kedudukan
rak-rak simpanan ini perlu separas dengan ketinggian murid supaya alatan yang
disimpan mudah untuk diambil.
Latihan 9.1
1. Senaraikan faktor-faktor yang perlu diberi perhatian oleh guru seni di
dalam mengurus bilik seni dan studio seni di sekolah.
2. Kenapa faktor pencahayaan yang sesuai penting untuk pengurusan
bilik seni atau studio seni yang berkesan?
9.3 KESELAMATAN DAN DISIPLIN
Keselamatan pelajar di dalam kelas adalah tanggungjawab guru.
Wajarkah guru dipersalahkan sekiranya sesuatu kemalangan berlaku
kepada pelajar di dalam bilik atau studio seni?
Satu lagi tugas berat dan mencabar bagi guru-guru pendidikan seni adalah aspek
keselamatan dan disiplin semasa menjalankan aktiviti. Ruang kerja yang selamat akan
memastikan proses pembelajaran tidak terganggu dan terjejas. Guru-guru pendidikan seni
visual perlu peka terhadap faktor-faktor yang boleh menyebabkan kemalangan berlaku
semasa menjalankan aktiviti.
Pemantauan tajam oleh guru semasa murid menjalankan aktiviti mampu mengelakkan
sebarang tragedi yang tidak diingini. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil
oleh guru bagi mengelakkan sebarang kemalangan daripada berlaku.
(a) Membaca Label Bahan
Sebelum memulakan aktiviti, guru perlu membaca label yang mengandungi
maklumat berkaitan dengan bahan yang akan digunakan bagi menjalankan aktiviti.
Bahan-bahan ini mungkin mengandungi kandungan yang merbahaya dan boleh
membahayakan kesihatan murid. Murid yang mempunyai masalah kesihatan seperti
alahan terhadap sesuatu dan asma perlu dikenal pasti terlebih dahulu supaya aktiviti
yang dirancang menggunakan bahan yang membahayakan kesihatan boleh
digantikan dengan bahan alternatif yang lain.
Kebanyakan bahan yang dibekalkan oleh pembekal bagi aktiviti seni visual
mempunyai tanda amaran sebagai satu bentuk makluman mengenai bahaya bahan
tersebut. Guru perlu memainkan peranan yang lebih aktif bagi memastikan bahan-
bahan ini bebas toksik dan sesuai digunakan untuk tujuan pembelajaran.
(b) Pilih Bahan Sesuai Mengikut Peringkat Umur
Bahan dan alatan seni yang digunakan oleh murid berbeza dengan bahan dan alat
yang digunakan oleh artis profesional. Justeru, tugas guru adalah untuk mengenal
pasti bahan dan alatan yang sesuai dengan tingkatan umur murid. Kebiasaannya,
bahan dan alatan yang dibekalkan akan mempunyai keterangan pada label
pembungkusan tentang tahap umur yang sesuai mengikut kategori tertentu.
(c) Mewujudkan Panduan Keselamatan
Guru seni visual boleh mewujudkan satu panduan keselamatan semasa berada di
studio seni sebagai satu dokumen rasmi. Dokumen keselamatan disediakan sebagai
peraturan yang digunakan oleh semua murid untuk mengelakkan kemalangan. Ianya
juga boleh dijadikan panduan di dalam penggunaan alatan dan bahan. Dokumen ini
boleh diletakkan di studio di tempat yang strategik dan kelihatan pada pandangan
umum.
(d) Menggunakan Bahan Alternatif
Banyak alatan dan bahan yang digunakan untuk menghasilkan karya adalah tidak
selamat untuk digunakan oleh murid. Justeru, guru digesa untuk mencari bahan dan
alat alternatif bagi menggantikan alatan dan bahan tersebut. Berikut disenaraikan
bahan alternatif yang boleh digunakan oleh guru pendidikan seni visual seperti yang
dicadangkan oleh Koster (2001):
Bahan Bertoksik Bahan Alternatif
Cat minyak Cat air/Pewarna berasaskan
Varnish Cat tempera
Thinner Acrylic
Selain daripada langkah-langkah keselamatan yang dibincangkan, apakah
lagi bentuk-bentuk langkah keselamatan sampingan yang boleh diambil
oleh guru?
9.4 MEMPAMERKAN HASIL KARYA
Kenapa hasil karya pelajar perlu dipamerkan? Apakah faktor-faktor yang
menjadi penentu dalam pemilihan karya untuk dipamer?
9.4.1 Pemilihan Karya
Persoalan penting di dalam mempamerkan karya pelajar adalah bagaimana hendak
memilih hasil karya untuk dipamerkan. Kriteria pemilihan karya murid perlu melihat kepada
dua perkara iaitu dari sudut pedagogi dan juga nilai estetik.
Pemilihan perlu melihat kepada aspek pedagogi yang melihat kepada keberkesanan dan
penyampaian proses dan kaedah menghasilkan karya tersebut. Faktor nilai estetik dilihat
dari sudut pencapaian objektif penghasilan karya tersebut sama ada ianya dihasilkan
bertujuan untuk kelihatan cantik ataupun sebaliknya. Murid-murid memang gemar melihat
karya mereka dan karya rakan-rakan mereka dipamerkan untuk tatapan umum. Murid-
murid merasakan komitmen dan usaha yang mereka telah sumbangkan bagi
menghasilkan karya diberi penghargaan.
Sungguhpun ruang yang terdapat pada papan buletin pameran sangat terhad, guru perlu
bijak untuk mengatur dan merancang giliran dan membuat pilihan yang lebih bijak dalam
pemilihan karya supaya pameran tersebut mencerminkan satu tanda aras yang perlu
dicapai oleh murid. Hasil karya murid yang dipamerkan memberikan mereka satu
rangsangan yang mendalam terhadap keupayaan mereka (Koster, 2001). Murid
menitikberatkan soal kualiti karya dan cuba untuk menghasilkan yang terbaik supaya
karya yang dihasilkan terpilih untuk dipamerkan. Dalam erti kata lain, usaha
mempamerkan hasil karya oleh guru dapat dijadikan satu bentuk motivasi kepada pelajar.
Guru perlu melihat hasil karya pelajar sebagai satu proses memantau prestasi selain
membantu murid mencapai tahap yang dikehendaki.
Sebelum karya seseorang murid dipamerkan, guru perlu membuat perbincangan
mengenai peningkatan dan perbezaan karya yang telah dihasilkan oleh murid supaya
mereka dapat melihat tahap dan aras yang telah mereka capai.
9.4.2 Susun Atur Karya
Karya boleh disusun mengikut dua aturan utama: 2 dimensi atau 3 dimensi. Setiap jenis
mempunyai cara aturannya yang tersendiri.
9.4.2.1 Karya Dua Dimensi (2D)
(a) Panel Pameran
Bagi mempamerkan bahan dan karya dua dimensi (2D) sebuah panel pameran
diperlukan. Panel pameran ini digunakan untuk mempamerkan hasil karya. Saiz
panel pameran yang dicadangkan adalah berukuran 4 x 8 kaki dan mampu untuk
dilekatkan dengan menggunakan staple gun atau paku tekan. Latar belakang bagi
panel pameran sebaiknya diwarnakan dengan warna putih supaya ia membantu
murid untuk menarik perhatian dan fokus terhadap karya tersebut.
(b) Kertas Keras dan Proses Membingkai
Bagi mempamerkan hasil karya, guru perlulah memastikan panel pameran bersih
dan tidak berserabut. Setelah pemilihan dibuat, setiap karya yang ingin dipamerkan
perlu dibingkaikan supaya nampak kemas dan menarik. Terdapat pelbagai kaedah
dan bahan bagi tujuan membingkai hasil karya. Antara lain, proses membingkai
karya boleh dilakukan dengan menggunakan kertas keras (black mounting board)
berwarna hitam, kelabu atau warna-warna gelap seperti warna coklat. Bahagian
dibuat pengukuran yang tepat bahagian dalam kertas keras ditebuk lalu menyerupai
tetingkap. Ambil ukuran semula dan tampalkan hasil karya di belakang kertas keras.
Kaedah ini dikenali sebagai window framing.
9.4.2.2 Karya Tiga Dimensi (3D)
Pameran bagi objek dan karya tiga dimensi (3D) mempunyai pendekatan yang berbeza.
Ini kerana kebiasaannya objek dan karya tiga dimensi (3D) ini mempunyai saiz yang
pelbagai. Meja yang dilapik dengan kain berwarna boleh digunakan sebagai tempat untuk
meletakkan objek dan hasil karya.
Karya yang hendak dipamerkan perlu disusun mengikut jenis dan ketinggian. Objek dan
hasil karya yang lebih besar hendaklah diletakkan di belakang supaya objek yang lebih
kecil boleh diletakkan di hadapan. Sesetengah hasil karya seperti ukiran kayu, hasil karya
seramik, sejenis kotak yang dikenali sebagai pedestal boleh digunakan dengan
meletakkan objek tersebut di atasnya. Pedestal ini diperbuat sama ada daripada kepingan
papan yang kemudiannya dicantumkan menjadi sebuah kotak. Warnakan pedestal
tersebut dengan warna terang supaya fokus pengunjung akan terus kepada objek
tersebut. Untuk tambah menarik lagi, cermin boleh diletakkan dengan mengikut saiz
pedestal tersebut dan diletakkan di atas. Siling boleh digunakan untuk menyangkut karya,
selalunya objek dan hasil karya mobil yang boleh digantung. Sebelum menggantung
karya-karya ini, guru perlu mengambil langkah keselamatan dengan memeriksa dengan
teliti siling tersebut. Tebukan pada siling mesti dilakukan dengan kuat bagi mengelakkan
objek daripada terjatuh lalu pecah.
Latihan 9.3
1. Nyatakan perbezaan di antara susun atur karya 2 dimensi dan 3
dimensi.
2. Kenapa karya yang ingin dipamer perlu dibingkai?
RUMUSAN
Topik ini menyentuh aspek-aspek pengurusan bilik seni dan studio seni di sekolah
termasuklah keperluan-keperluan asas yang perlu ada di dalam bilik seni, langkah-
langkah keselamatan yang perlu diambil oleh guru pendidikan seni visual dalam
memastikan ianya kawasan bebas kemalangan, serta faktor-faktor yang perlu diberi
perhatian di dalam mempamerkan karya-karya seni pelajar. Pengurusan bilik seni yang
berkesan mempunyai impak langsung ke atas proses pembelajaran. Sebagai bakal guru
anda juga perlu sedar bahawa keselamatan pelajar-pelajar semasa belajar terletak di
bawah tanggungjawab guru dan guru perlu mengambil langkah awal untuk memastikan
ruang belajar bukan sahaja selesa malah selamat untuk digunakan.
No comments:
Post a Comment