Pembaca KAMI

Saturday, May 21, 2011

BMM 3104

Pemerengganan Karangan

Ciri-ciri pendahuluan karangan
• Pendahuluan karangan seboleh-bolehnya menggambarkan tajuk perbincangan dan keseluruhan isi yang hendak dibincangkan dalam perenggan isi karangan.

• Pembaca akan membuat kesimpulan awal tentang apa-apa yang ditulis setelah membaca pendahuluan. Sehubungan dengan itu, anda sekurang-kurangnya mesti berupaya untuk mengetahui dan menulis beberapa jenis perenggan pendahuluan.

Terdapat 7 jenis perenggan pendahuluan :

Secara umumnya, perenggan pendahuluan terbahagi kepada :
a. Pendahuluan jenis definisi.
b. Pendahuluan jenis pendapat.
c. Pendahuluan jenis situasi/suasana.
d. Pendahuluan jenis persoalan.
d. Pendahuluan jenis peribahasa.
e. Pendahuluan jenis puisi.
f. Pendahuluan jenis sejarah.


Pengenalan perenggan isi

Bahagian isi atau badan karangan terdiri daripada beberapa perenggan atau paragraf. Setiap paragraf mempunyai fungsi tersendiri tentang tajuk atau tugasan soalan.

• Perenggan merupakan satu kumpulan kalimat yang disusun secara logis dan sistematik.

• Setiap paragraf mengandungi makna, pesan, fikiran ataupun satu persoalan pokok dan selaras dengan persoalan pokok yang dibawa oleh keseluruhan karangan berkenaan.

• Sesuatu paragraf dihasilkan daripada sejumlah ayat yang berkaitan antara satu sama lain.

• Paragraf juga merupakan satu kesatuan pemikiran sama ada untuk menggambarkan pengalaman,
pendapat, pandangan serta imaginasi.
Secara umumnya, perenggan isi terbahagi kepada 3 bentuk. Walaubagaimanapun, untuk penulisan karangan pelajar tingkatan empat dan lima, penulisan karangan biasanya menggunakan perenggan 4 unsur.
a. Perenggan Deduktif
b. Perenggan Induktif
c. Perenggan Gabungan/perenggan 4 unsur.


Ciri-ciri perenggan 4 unsur.

Setiap paragraf hendaklah mengandungi 4 unsur ;
a. Ayat topik/isi utama.
• Mesti menjawab tugasan yang diberikan dalam soalan.
• Gunakan ayat yang mudah.


b. Huraian (ayat huraian)
• Pengembangan isi berdasarkan isi utama.
• Boleh merangkumi aspek persoalan bagaimana dan mengapa. • Menggunakan penanda
wacana yang sesuai.
• Gunakan kosa kata, ungkapan atau frasa menarik.


c. Contoh (ayat contoh)
• Bukti penyokong kepada isi utama dalam bentuk data statistik, pendapat orang yang sangat
dikenali ramai dan dihormati, dan penemuan atau kajian sains.


d. Kesimpulan (ayat penegas)
• Penutup kepada perenggan dan menegaskan


Contoh Perenggan 4 Unsur

Contoh 1
Skop soalan : Punca kesesakan jalan raya
Punca selanjutnya yang menyebabkan berlakunya kesesakan jalan raya ialah disebabkan oleh sikap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya. Kebanyakan mereka terutamanya pemandu kenderaan memandu kenderaan mereka dengan mengikut hati sendiri tanpa mematuhi undang-undang jalan raya dan menghormati hak pengguna jalan raya yang lain. Pengguna jalan raya seperti ini menganggap jalan raya hak mereka sendiri. Tindakan yang dilakukan oleh mereka ini telah mengundang berlakunya kesesakan di jalan-jalan raya. Keadaan ini menyebabkan mereka melakukan pelbagai kesalahan jalan raya seperti memotong barisan kenderaan, melanggar lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar, dan berhenti di petak kuning. Hal ini jelas menunjukkan bahawa sikap pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab mengundang berlakunya kesesakan di jalan raya.
Rujukan (sila rujuk perkataan berwarna):
Biru : Ayat utama/ayat topik
Coklat :Ayat HuraianMerun :Ayat contohJingga :Ayat penegas


Contoh 2

Soalan karangan :

Masalah sosial dalam kalangan remaja di negara kita sudah menjadi semakin serius sejak akhir-akhir ini.
Pada pendapat anda, bagaimanakah kita hendak membendung masalah ini daripada menjadi semakin buruk?

Salah satu cara untuk membendung masalah sosial dalam kalangan remaja ialah peranan institusi keluarga. Institusi keluarga merupakan elemen yang rapat dengan remaja. Sehubungan itu, hubungan yang rapat ibarat isi dengan kuku membolehkan institusi keluarga mengenali, mengawasi dan menasihati remaja. Selain itu, institusi keluarga juga hendaklah mewujudkan suasana harmoni di rumah kerana rumah merupakan asas kepada kehidupan berkeluarga. sebarang bentuk pertengkaran hendaklah dihindarkan, sebaliknya ketua keluarga mengambil langkah untuk merancang sesuatu yang membina kepada ahli keluarganya seperti bersembahyang dan makanbersama. Pakar motivasi Datuk Dr. Mohd Fadhilah Kamsah menyatakan institusi keluarga merupakan entiti penting bagimengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja. Sejajar dengan itu, remaja sememangnya memerlukan perhatian maka, adalah penting bagi institusi keluarga untuk memainkan peranan yang utama agar masalah sosial dalam kalangan remaja dapat dibendung. Oleh itu, memang tidak dinafikan bahawa peranan institusi keluarga merupakan satu cara bagi membendung masalah sosial remaja.
Rujukan (Sila rujuk perkataan berwarna) :
Biru : Ayat topik
Coklat : Ayat huraian
Merun : Ayat contoh
Jingga : Ayat penegas

Contoh 3
Soalan Karangan :
Sambutan bulan kemerdekaan, sekolah anda telah menganjurkan pidato kemerdekaan. Anda berminat untuk menyertai pidato tersebut.
Tajuk pidato tersebut ialah cara-cara memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar.
Tuliskan pidato tersebut selengkapnya.

Contoh perenggan 4 unsur.
Antara langkah yang boleh dijalankan untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan pelajar adalah dengan mengajar mata pelajaran Sejarah di sekolah. Hal ini demikian kerana dengan adanya mata pelajaran Sejarah, semangat patriotik dapat disebarkan secara menyeluruh dengan lebih mendalam mengenai sejarah negara kita. Sebagai contoh, pelajar dapat mengetahui peristiwa-peristiwa penting semasa negara hendak mencapai kemerdekaan dan menyelami pelbagai kesengsaraan yang dialami oleh pejuang-pejuang negara dalam usaha untuk mencapai kemerdekaan. Dengan ini, semangat patriotik dapat diterapkan dalam diri setiap pelajar untuk mempertahankan kebebasan yang telah kita perolehi pada hari ini apabila mengetahui betapa tingginya nilai kemerdekaan sesebuah negara. Bak kata pepatah Melayu, 'tak kenal, maka tak cinta'. Selain itu, dengan mempelajari mata pelajaran Sejarah, pelajar juga dapat mengenali dengan lebih mendalam tentang tokoh-tokoh terkemuka yang telah banyak berjasa kepada negara. Hal ini akan membangkitkan semangat untuk mencontohi jasa-jasa yang telah ditaburkan. Aspek ini dapat dilihat dalam diri pelajar seperti pelajar akan mempunyai semangat yang lebih kental dan tidak mudah goyah dalam menegakkan sesuatu perkara demi keadilan negara. Oleh itu, mempelajari mata pelajaran Sejarah amat penting bagi melahirkan pelajar yang berjiwa patriotik dan mempunyai semangat cinta akan tanah air. kemerdekaan.
Rujukan (sila rujuk perkataan berwarna ) :
Biru : Ayat topik/ayat utamaCoklat : Ayat huraianMerun : Ayat contoh
Jingga : Ayat penegas

Perenggan penutup .
• Sesebuah karangan dianggap tidak lengkap jika tiada penutup atau kesimpulan.
• Penutup merupakan kesimpulan terhadap pendapat yang telah dikemukakan.
• Pelajar perlu berhati-hati apabila menulis perenggan penutup kerana sikap dan pandangan pelajar terhadap tajuk dapat dibayangkan.
• Penutup karangan mesti mempunyai kesimpulan yang lembut tetapi berkesan.
• Pelajar diingatkan supaya tidak mengulangi isi yang telah dikemukakan untuk bahagian penutup ini.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...