- Bimbingan menjangka adalah bimbingan yang diberi oleh guru khususnya untuk membantu murid membaca dan memahami.
- Hj Ismail Hj. Zakaria, Salmah Othman, Elly Chong, 1992:86), mengistilahkan bimbingan menjangka sebagai aktiviti membaca terarah.
- Aktiviti bimbingan menjangka digunakan untuk membimbing murid membaca dan memahami petikan, rencana dan karya sastera.
- Aktiviti ini juga sesuai untuk mengajar bacaan dan kefahaman kepada kumpulan kecil atau keseluruhan kelas.
- Terdapat lima langkah yang perlu diikuti oleh guru dan murid ketika menjalankan aktiviti bimbingan membaca.
LANGKAH 1
Guru perlu melakukan tinjauan terhadap pengetahuan dan pengalaman sedia ada murid berkaitan petikan yang akan dibaca. Sekiranya pengetahuan dan pengalaman murid kurang mencukupi maka, guru perlu menjalankan beberapa aktiviti awal, iaitu (i) membaca petikan sepintas lalu, (ii) menyampaikan isi utama petikan kepada murid, (iii) menyenaraikan perkataan dan konsep baharu dan menghuraikan maknanya dan (iv) menggunakan gambar, foto, tayangan slaid atau filem sebagai pengukuhan pengetahuan dan pengalaman murid tentang isi petikan.
LANGKAH 2
Sebelum pembacaan yang sebenarnya dijalankan, guru menjelaskan kepada murid tentang tujuan pembacaan itu. Penyataan tujuan pembacaan dapat ditunjukkan melalui empat aktiviti, iaitu (i) mendapatkan isi-isi utama petikan, (ii) memberi makna perkataan tertentu mengikut konteks, (iii) mengemukakan pendapat tentang kesesuaian tajuk dan (iv) menghuraikan gerak balas afektif terhadap petikan.
LANGKAH 3
Guru menentukan had masa untuk murid membaca petikan khususnya berdasarkan pembacaan senyap. Pembacaan kuat pula dijalankan hanya untuk interpretasi terhadap sesuatu persoalan atau penghayatan keindahan bahasa dalam petikan. Teknik pengajaran bacaan kuat tidak digalakkan untuk pengajaran dan pembelajaran dalam peringkat ini.
LANGKAH 4
Perbincangan isi petikan dijalankan secara bersoal jawab seperti yang dijalankan ketika aktiviti mengenal pasti tujuan pembacaan. Perbincangan juga boleh dijalankan berdasarkan pengalaman baharu yang dialami oleh murid. Perbincangan boleh dijalankan di peringkat kelas dan dijalankan oleh guru dengan melibatkan murid secara aktif. Guru boleh berperanan sebagai penasihat dan pemudah cara jika perbincangan dijalankan dalam kumpulan kecil.
LANGKAH 5
Langkah ini merupakan aktiviti pengayaan yang boleh dijalankan berdasarkan aktiviti dalam keempat-empat langkah sebelum ini. Aktiviti pengayaan boleh dijalankan dalam kelas atau sebagai kerja rumah berdasarkan tiga kaedah, iaitu (i) melakukan ilustrasi peristiwa dalam petikan,
(ii) menulis cerita berdasarkan tema yang sama dan
(iii) melakukan bacaan luas tentang tajuk yang dibaca.
No comments:
Post a Comment